KOTA KINABALU: Isu kekurangan doktor di Sabah semakin membimbangkan apabila hanya 47 daripada 138 pegawai perubatan dari luar negeri yang dijangka ditempatkan di hospital seluruh Sabah sudah melapor diri.
Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, jumlah itu mewakili kira-kira 34 peratus berdasarkan maklumat penempatan hospital yang diperoleh pihaknya.
Menurutnya, maklumat di peringkat fasiliti serta maklum balas daripada doktor yang bertugas di hospital menunjukkan sebahagian besar hospital yang terjejas dalam pergerakan terkini pegawai perubatan mengalami pengurangan bersih pegawai perubatan, bukannya pertambahan.
“Jumlah besar pegawai perubatan yang tidak mengambil penempatan di Sabah baru-baru ini perlu dilihat sebagai satu amaran serius.
“Pelantikan tetap sudah lama diperjuangkan doktor kontrak bagi mendapatkan jaminan kerjaya yang lebih baik. Apabila doktor sanggup melepaskan pelantikan tetap daripada menerima sesuatu penempatan, kita perlu bertanya apakah yang mendorong keputusan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Brandon berkata, angka berkenaan hanya membabitkan penempatan di hospital dan tidak termasuk doktor yang ditempatkan di Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan kerajaan kerana MMA Sabah tidak mempunyai angka perbandingan bagi fasiliti berkenaan.
Katanya, maklum balas daripada doktor di lapangan menunjukkan kesukaran sama mungkin turut berlaku di fasiliti penjagaan kesihatan primer.
Sehubungan itu, MMA Sabah menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerbitkan dan mengesahkan angka penuh pegawai perubatan yang melapor diri di seluruh Sabah supaya keadaan sebenar tenaga kerja kesihatan dapat dinilai dengan tepat.
Brandon berkata, keadaan itu berlaku ketika banyak hospital di Sabah sudah beroperasi dalam keadaan kekurangan tenaga kerja yang ketara.
Menurutnya, MMA Sabah terus menerima maklum balas mengenai jabatan tertentu yang memerlukan pegawai perubatan menjalani tugas atas panggilan selang sehari kerana jumlah doktor tidak mencukupi untuk mengekalkan jadual bertugas.
“Keadaan ini tidak mampan. Kita tidak boleh menyelesaikan kekurangan tenaga kerja dengan terus meminta doktor yang masih ada untuk bekerja lebih banyak.
“Setiap doktor yang meninggalkan perkhidmatan tanpa pengganti mencukupi meningkatkan beban kerja, kekerapan tugas atas panggilan dan tanggungjawab rakan sekerja yang kekal,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu berisiko mewujudkan kitaran kekurangan kakitangan, keletihan, kelesuan melampau dan seterusnya menyebabkan lebih ramai meninggalkan perkhidmatan.
Katanya, pesakit akhirnya akan menerima kesannya menerusi tempoh menunggu lebih lama, kelewatan rawatan dan pengurangan keupayaan untuk memastikan perkhidmatan dapat diberikan dengan selamat.
“Sabah memerlukan doktor yang benar-benar berada di lapangan, mendapat sokongan mencukupi, bekerja dalam keadaan selamat dan munasabah, diberikan peluang untuk berkembang secara profesional dan, paling penting, mempunyai sebab untuk terus kekal,” katanya.
“Tanda-tanda amaran sudah berada di hadapan kita. Kita tidak seharusnya menunggu sehingga perkhidmatan kesihatan gagal sebelum menyedari betapa seriusnya masalah ini.
“Kekurangan doktor di Sabah semakin menghampiri tahap kritikal. Tindakan perlu diambil sebelum keadaan bertukar menjadi kegagalan sistem,” katanya.



